KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Budaya (MOTAC) sedang mencari penyelesaian terbaik berhubung kes bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Julai lalu, dipercayai ditipu sebuah agensi pelancongan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Santhara Kumar berkata, kes tersebut juga masih di bawah penilaian dan kajian oleh pihak kementerian.

"Saya difahamkan kes ini masih di bawah penilaian dan kajian, di mana MOTAC sedang mencari penyelesaian terbaik.

"Kita juga difahamkan memandangkan satu saman telah difailkan, maka tidak boleh bincangkan perkara-perkara itu dengan teliti di sini (Dewan Rakyat). Namun demikian kita akan berikan maklumat tambahan secara bertulis," katanya pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Santhara (Bersatu-Segamat) menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shamsul Iskandar (PH-Hang Tuah Jaya) berhubung gesaan agar MOTAC menggunakan kuasa di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 bagi mengambil tindakan terhadap agensi pelancongan terlibat.

Semalam (Ahad, 31 Julai), seramai 111 bakal jemaah haji memfailkan tuntutan sivil di Mahkamah Tinggi terhadap sebuah syarikat agensi pelancongan yang didakwa terlibat dalam penipuan pakej haji.

Tuntutan yang dianggarkan berjumlah RM3 juta, beserta ganti rugi emosi dan teladan, difailkan melalui firma guaman Tetuan Toriq Seth and Partner.

Pada 7 Julai lalu, seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA, dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).